Thursday, December 13, 2012


Kesimpulan
Tidak dinafikan bahawa terdapat perbezaan antara cara pemerolehan bahasa pertama dengan pemerolehan bahasa kedua. Pemerolehan bahasa pertama melalui proses tidak formal. Sebaliknya, pembelajaran bahasa kedua memerlukan usaha gigih dan perancangan teliti. Manusia tidak perlu berguru dalam institusi formal untuk membolehkan mereka bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, seseorang perlu berguru secara formal untuk mempelajari bahasa kedua.

Monday, December 10, 2012


Teori Pemerolehan Bahasa Pertama
Teori Pemerolehan Bahasa Pertama dapat dilihat dari aspek psikologi dan linguistik seperti berikut: -
 Psikologi – Teori Behaviorisme
Teori yang berkaitan dengan bahasa pertama ialah Teori Behaviorisme dan ahli bahasa mendominasi Teori Behaviorisme ialah Bloomfield, Sapir, Boas, Fries dan Brooks.

Prinsip terhadap penguasaan dan pembelajaran bahasa adalah seperti berikut: -
·                     Bahasa dikuasai melalui proses pengulangan sebanyak mungkin kemahiran bahasa sehingga menjadi semakin kebiasaan. Teori Behaviorisme berasaskan kepada cara pemerolehan bahasa pertama oleh seseorang kanak-kanak. Pengajaran bahasa haruslah menekankan latihan dan pengulangan banyak. Ini kerana penguasaan bahasa adalah satu proses tingkahlaku yang tidak memerlukan daya mental.
·                     Kemahiran bahasa diperolehi melalui pembentukkan suatu yang menjadi kebiasaan dan penguasaan kemahiran psikomotor seperti berlari, melompat dan sebagainya.
·                     Bahasa merupakan suatu tingkahlaku yang sama dengan tingkahlaku lain yang boleh dikuasai melalui latihan dan pengulangan. Tingkahlaku bahasa wujud ketika ucapan terzahir daripada mulut dan ucapan itu diterima serta difahami oleh pendengar dan sebaliknya.
·                     Bahasa adalah alat komunikasi dan teori ini menekankan tentang aspek lisan. Menurut Bloomfield, bahasa adalah sejumlah isyarat sejumlah isyarat yang berupa unsur-unsur bunyi (linguistik).
·                     Mengikut Teori Behaviorisme, pembelajaran adalah pengukuhan yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran yang perlu diberi sekiranya seseorang pelajar memberi gerak balas yang betul.
·                     Menekankan aspek huraian bahasa secara deskriptif atau struktural. Menurut Fries, pertuturan adalah bahasa, tulisan juga bahasa tetapi sebagai secondary.

 Linguistik – Teori Kognitif
Teori yang berkaitan dengan bahasa pertama ialah Teori Kognitif atau Teori Mentalis dan ahli bahasa mendominasi Teori Behaviorisme ialah Noam Chomsky, Miller, Katz dan Lakoff.
Prinsip terhadap penguasaan dan pembelajaran bahasa adalah seperti berikut: -
·                     Menurut teori ini, manusia sejak lahir sudah mempunyai kebolehan untuk menguasai bahasa. Kanak-kanak mempunyai keupayaan semulajadi untuk merumus dan membentuk ayat-ayat mengikut sistem bahasa yang diperolehi dengan syarat kanak-kanak terdedah kepada penggunaan bahasa tersebut.
·                     Selain itu, wujud jangkamasa tertentu yang merupakan masa subur untuk bahasa berkembang dan sebaliknya.
·                     Menurut J. Piaget, otak manusia mempunyai kebolehan untuk mempelajari banyak perkara. Proses pembelajaran adalah proses mental dan bukannya proses mekanis.
·                     Menurut N. Chomsky, kanak-kanak dilahirkan dengan kecekapan semulajadi untuk menguasai bahasa sehingga tahap peringkat kematangan tertentu.
·                     Setiap tahap kematangan kanak-kanak akan terbentuk hipotesis-hipotesis terhadap peraturan-peraturan ahli masyarakatnya. Pembetulan kesalahan oleh ahli dalam masyarakat akan memperkukuhkan rumus-rumus bahasa yang tersimpan dalam otaknya.
·                     Menurut Lenneberg, kanak-kanak yang sihat dan normal mulai bercakap dan bertutup pada peringkat umur yang sama. Dalam konteks ini, perkembangan dan kebolehan berbahasa adalah terjadual secara biologis.
·                     Apabila sampai masanya kanak-kanak tertarik kepada bunyi-bunyian yang didengarnya dan dia dapat menajamkan pancainderanya. Oleh itu, kanak-kanak berupaya memahami dan memilih bunyi-bunyi yang penting dan mengetepikan yang lain.

PERBEZAAN PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA DENGAN PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA


Pendahuluan

Pemerolehan  bahasa  merupakan  satu  proses  perkembangan  bahasa  manusia. Lazimnya  pemerolehan  bahasa  pertama  dikaitkan  dengan  perkembangan  bahasa kanak-kanak manakala pemerolehan bahasa kedua bertumpu kepada perkembangan bahasa orang dewasa . Perkembangan  bahasa kanak-kanak pula bermaksud pemerolehan bahasa ibunda kanak-kanak berkenaan.  Bagi  Mangantar  Simanjuntak  (1982)  pula,  pemerolehan bahasa  bermaksud penguasaan bahasa oleh seseorang secara tidak langsung dan dikatakan aktif berlaku dalam kalangan  kanak-kanak  dalam lingkungan  umur  2-6  tahun. Namun terdapat juga pandangan lain yang mengatakan bahawa terdapat dua proses yang  terlibat  dalam  pemerolehan  bahasa  dalam  kalangan  kanak-kanak  iaitu pemerolehan  bahasa  dan  pembelajaran  bahasa.

Perbezaan Pemerolehan Bahasa Pertama dengan Pemerolehan Bahasa Kedua

 Istilah pemerolehan bahasa pertama lazimnya digunakan kepada bahasa yang mula-mula dipelajari yang diperoleh oleh kanak-kanak sejak lahir mananala bahasa kedua merupakan sebarang bahasa yang dipelajari selepas bahasa pertama atau bahasa ibunda.
Dalam pemerolehan bahasa pertama, penguasaan sesuatu kemahiran bahasa berlaku secara beransur-ansur. Mula-mula mereka mengeluarkan bunyi-bunyi, kemudian mencantumkan unit-unit bunyi menjadi perkataan dan selepas itu mencantumkan perkataan-perkataan menjadi ungkapan atau ayat. Kanak-kanak memerhati dan menangkap sebarang kemahiran bahasa ibunda daripada penutur lain. Lama-kelamaan mereka akan menjadi mahir dengan sendiri. Proses kefahaman boleh wujud lebih awal daripada proses melahirkan ucapan dan setiap kemahiran bahasa dikuasai dengan cara yang perlahan. Cara ini membolehkan beberapa aspek bahasa dapat dikuasai secara sekali gus. Sebagaimana diketahui, bahasa mempunyai banyak rumus dan peraturan. semuanya itu dikuasai secara serentak. Kanak-kanak umpamanya dapat menguasai bunyi, perkataan, pengimbuhan, makna, dan penggunaannya dalam ayat secara sekali gus. Manakala pembelajaran bahasa kedua adalah merupakan satu proses mekanis yang membentuk lakuan baru, iaitu lakuan kemahiran bahasa. Latihan-latihan peneguhan diberikan untuk membentuk tabiat bahasa yang dipelajari. Aktiviti pengajaran bermula daripada kemahiran mendengar, kemudian bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut sesuatu kata itu dahulu sebelum mengajar bentuk-bentuk tulisan. Cara ini akan menghasilkan satu pengajaran bahasa kedua yang berkesan.
Dalam pemerolehan bahasa pertama, prinsip mempelajari penggunaan bahasa menerangkan bahawa kanak-kanak tidak mengkaji tatabahasa untuk menguasai bahasa tersebut. Mereka belajar menggunakannya. Kanak-kanak tidak diminta menjelaskan sebab binaan ayat itu adalah betul atau salah, tetapi mereka diberi tahu betul dan salah ayat itu. Dalam aspek tatabahasa misalnya, kanak-kanak tidak diminta mengkaji rumus-rumusnya tetapi cukup sekadar menggunakannya dalam ayat-ayat yang betul. Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, pelajar belajar secara membuat analogi. Pembelajaran cara ini membolehkan pelajar menerima pelajaran dengan cara melihat persamaan dan perkaitan antara bentuk-bentuk yang diajar. Mereka diberi latih tubi dalam pola-pola yang diajar. Analogi digunakan untuk menghasilkan penguasaan struktur bahasa tanpa menghabiskan masa dan tenaga untuk menjelaskan konsep-konsep tatabahasa. Mereka diberitahu sebab binaan bahasa yang digunakan itu adalah salah atau betul.
Kanak-kanak  juga mempelajari pertuturan menurut kebiasaan tertentu. Kebiasaan ini mungkin kebiasaan seseorang individu atau kelompok penutur. Mereka mempunyai kumpulan sendiri dan mempunyai tabiat  bertutur yang tersendiri. Kanak-kanak tidak perlu dihalang mengembangkan kebolehan mereka berbahasa secara tersendiri Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Pembelajaran berlaku secara formal dan mempunyai guru. Peluang pembelajaran hanya dapat diikuti di tertentu sahaja.
Tujuan yang menguasai pengetahuan bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua juga berbeza. Berlainan dengan proses pemerolehan bahasa pertama, pembelajaran bahasa kedua merupakan usaha yang ditentukan oleh manfaat yang bakal diperoleh. Dan tujuan mempelajari bahasa kedua biasanya dikaitkan dengan peranan bahasa dalam kehidupan seseorang pengguna. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua sering mengarah kepada sesuatu tujuan yang tertentu.
Penguasaan pengetahuan bahasa oleh penutur bahasa pertama dan bahasa kedua adalah berbeza. Dalam bahasa pertama, kanak-kanak, secara genetik, telah diprogramkan untuk berjaya dalam proses penguasaan bahasa pertama. Proses tersebut merupakan proses menyesuaikan pengetahuan bahasa semula jadi yang sedia ada dengan sistem bahasa pertama mereka. Sementara pembelajaran bahasa kedua pula, faktor genetik tidak memainkan peranan penting. Faktor-faktor luaran yang menentukan kejayaan proses  pembelajaran bahasa kedua berkenaan.

Kesimpulan

 Tidak dinafikan bahawa terdapat perbezaan antara cara pemerolehan bahasa pertama dengan pemerolehan bahasa kedua. Pemerolehan bahasa pertama melalui proses tidak formal. Sebaliknya, pembelajaran bahasa kedua memerlukan usaha gigih dan perancangan teliti. Manusia tidak perlu berguru dalam institusi formal untuk membolehkan mereka bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, seseorang perlu berguru secara formal untuk mempelajari bahasa kedua.

Rujukan

Abdullah Hassan(2006). Aplikasi Psikolinguistik Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa. PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Mangantar Simanjuntak (1982). Pemerolehan Bahasa Melayu:  Bahagian Fonologi.
Jurnal Dewan Bahasa, Ogos/September, hlm. 615-625.

Siti Hajar Abdul Aziz(2009).Bahasa Melayu II, Oxford Fajar Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.