PERBEZAAN PEMEROLEHAN
BAHASA PERTAMA DENGAN PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA
Pendahuluan
Pemerolehan bahasa
merupakan satu proses
perkembangan bahasa manusia. Lazimnya pemerolehan
bahasa pertama dikaitkan
dengan perkembangan bahasa kanak-kanak manakala pemerolehan
bahasa kedua bertumpu kepada perkembangan bahasa orang dewasa .
Perkembangan bahasa kanak-kanak pula
bermaksud pemerolehan bahasa ibunda kanak-kanak berkenaan. Bagi
Mangantar Simanjuntak (1982)
pula, pemerolehan bahasa bermaksud penguasaan bahasa oleh seseorang
secara tidak langsung dan dikatakan aktif berlaku dalam kalangan kanak-kanak
dalam lingkungan umur 2-6
tahun. Namun terdapat juga pandangan lain yang mengatakan bahawa
terdapat dua proses yang terlibat dalam
pemerolehan bahasa dalam
kalangan kanak-kanak iaitu pemerolehan bahasa
dan pembelajaran bahasa.
Perbezaan
Pemerolehan Bahasa Pertama dengan Pemerolehan Bahasa Kedua
Istilah pemerolehan bahasa pertama lazimnya digunakan
kepada bahasa yang mula-mula dipelajari yang diperoleh oleh kanak-kanak sejak
lahir mananala bahasa kedua merupakan sebarang bahasa yang dipelajari selepas
bahasa pertama atau bahasa ibunda.
Dalam pemerolehan bahasa pertama,
penguasaan sesuatu kemahiran bahasa berlaku secara beransur-ansur. Mula-mula
mereka mengeluarkan bunyi-bunyi, kemudian mencantumkan unit-unit bunyi menjadi
perkataan dan selepas itu mencantumkan perkataan-perkataan menjadi ungkapan
atau ayat. Kanak-kanak memerhati dan menangkap sebarang kemahiran bahasa ibunda
daripada penutur lain. Lama-kelamaan mereka akan menjadi mahir dengan sendiri.
Proses kefahaman boleh wujud lebih awal daripada proses melahirkan ucapan dan
setiap kemahiran bahasa dikuasai dengan cara yang perlahan. Cara ini
membolehkan beberapa aspek bahasa dapat dikuasai secara sekali gus. Sebagaimana
diketahui, bahasa mempunyai banyak rumus dan peraturan. semuanya itu dikuasai
secara serentak. Kanak-kanak umpamanya dapat menguasai bunyi, perkataan,
pengimbuhan, makna, dan penggunaannya dalam ayat secara sekali gus. Manakala
pembelajaran bahasa kedua adalah merupakan satu proses mekanis yang membentuk
lakuan baru, iaitu lakuan kemahiran bahasa. Latihan-latihan peneguhan diberikan
untuk membentuk tabiat bahasa yang dipelajari. Aktiviti pengajaran bermula
daripada kemahiran mendengar, kemudian bertutur, kemahiran membaca dan
kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut sesuatu kata itu dahulu sebelum
mengajar bentuk-bentuk tulisan. Cara ini akan menghasilkan satu pengajaran
bahasa kedua yang berkesan.
Dalam pemerolehan bahasa pertama,
prinsip mempelajari penggunaan bahasa menerangkan bahawa kanak-kanak tidak
mengkaji tatabahasa untuk menguasai bahasa tersebut. Mereka belajar
menggunakannya. Kanak-kanak tidak diminta menjelaskan sebab binaan ayat itu
adalah betul atau salah, tetapi mereka diberi tahu betul dan salah ayat itu.
Dalam aspek tatabahasa misalnya, kanak-kanak tidak diminta mengkaji
rumus-rumusnya tetapi cukup sekadar menggunakannya dalam ayat-ayat yang betul. Sebaliknya,
dalam pembelajaran bahasa kedua, pelajar belajar secara membuat analogi.
Pembelajaran cara ini membolehkan pelajar menerima pelajaran dengan cara
melihat persamaan dan perkaitan antara bentuk-bentuk yang diajar. Mereka diberi
latih tubi dalam pola-pola yang diajar. Analogi digunakan untuk menghasilkan
penguasaan struktur bahasa tanpa menghabiskan masa dan tenaga untuk menjelaskan
konsep-konsep tatabahasa. Mereka diberitahu sebab binaan bahasa yang digunakan
itu adalah salah atau betul.
Kanak-kanak juga mempelajari pertuturan menurut kebiasaan
tertentu. Kebiasaan ini mungkin kebiasaan seseorang individu atau kelompok
penutur. Mereka mempunyai kumpulan sendiri dan mempunyai tabiat bertutur yang tersendiri.
Kanak-kanak tidak perlu dihalang mengembangkan kebolehan mereka berbahasa
secara tersendiri Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua.
Pembelajaran berlaku secara formal dan mempunyai guru. Peluang pembelajaran
hanya dapat diikuti di tertentu sahaja.
Tujuan yang menguasai pengetahuan
bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua juga berbeza. Berlainan dengan
proses pemerolehan bahasa pertama, pembelajaran bahasa kedua merupakan usaha
yang ditentukan oleh manfaat yang bakal diperoleh. Dan tujuan mempelajari
bahasa kedua biasanya dikaitkan dengan peranan bahasa dalam kehidupan seseorang
pengguna. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua sering mengarah kepada sesuatu
tujuan yang tertentu.
Penguasaan pengetahuan bahasa oleh
penutur bahasa pertama dan bahasa kedua adalah berbeza. Dalam bahasa pertama,
kanak-kanak, secara genetik, telah diprogramkan untuk berjaya dalam proses
penguasaan bahasa pertama. Proses tersebut merupakan proses menyesuaikan
pengetahuan bahasa semula jadi yang sedia ada dengan sistem bahasa pertama
mereka. Sementara pembelajaran bahasa kedua pula, faktor genetik tidak memainkan
peranan penting. Faktor-faktor luaran yang menentukan kejayaan proses pembelajaran bahasa kedua berkenaan.
Kesimpulan
Tidak
dinafikan bahawa terdapat perbezaan antara cara pemerolehan bahasa pertama
dengan pemerolehan bahasa kedua. Pemerolehan bahasa pertama melalui proses
tidak formal. Sebaliknya, pembelajaran bahasa kedua memerlukan usaha gigih dan
perancangan teliti. Manusia tidak perlu berguru dalam institusi formal untuk
membolehkan mereka bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, seseorang
perlu berguru secara formal untuk mempelajari bahasa kedua.
Rujukan
Abdullah
Hassan(2006). Aplikasi Psikolinguistik Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Bahasa. PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Mangantar
Simanjuntak (1982). Pemerolehan Bahasa Melayu:
Bahagian Fonologi.
Jurnal
Dewan Bahasa, Ogos/September, hlm. 615-625.
Siti Hajar Abdul Aziz(2009).Bahasa Melayu II, Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment